Sengketa akan hanya lemahkan lagi UMNO

PENGANALISIS politik berkata Umno akan terus lemah jika masih meneruskan budaya menyerang sesama sendiri dalam parti daripada membahaskan isu kepentingan rakyat.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, parti itu juga berdepan risiko penolakan rakyat secara total apabila mereka semakin muak dan bosan dengan sikap Umno.

Katanya, ia sekali gus memberikan kelebihan kepada parti pembangkang khususnya ketika menjelang PRU16.

“Umno sepatutnya lebih serius membahaskan isu melibatkan kepentingan rakyat dan bukannya berbalah sepanjang masa.

“Jika gagal memupuk kefahaman, ia akan merugikan parti dalam jangka masa panjang. Ini hanya akan menguntungkan pihak lawan untuk menjadikannya sebagai modal politik,” katanya kepada FMT.

Namun, katanya masih belum terlambat untuk Umno memperbaiki kelemahan menerusi bentuk kerjasama dalaman yang ideal dan menangani isu dihadapi dengan lebih baik.

“Jika ini semua boleh dilakukan segera, maka ia tidak memerlukan beberapa PRU untuk bangkit dan mungkin boleh mencatatkan prestasi lebih baik pada PRU nanti,” katanya.

Dalam isu terbaru, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh memberi amaran akan menyaman Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Lokman Noor Adam kerana menuduhnya mempunyai agenda tersembunyi untuk menaikkan Hishammuddin Hussein sebagai perdana menteri.

Dalam video tular berdurasi lebih seminit menerusi wawancara bersama platform NRChannel TV, Lokman secara terbuka menggelar Akmal sebagai ‘Ketua Pemuda H2O’.

H2O adalah gelaran kepada Hishammuddin, bekas naib presiden Umno yang kini digantung.

Lokman juga mendakwa, selain menjadi ‘orang H2O’, Akmal dikatakan menjadi ejen pemecah hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi pula berbeza pandangan apabila menganggap teguran secara terbuka oleh Lokman perlu diraikan Umno.

“Jika suara lantang seperti ini disekat, Umno berisiko terus kehilangan kepercayaan rakyat dan membuka ruang kepada pihak lawan untuk mengambil kesempatan.

Katanya, Umno hanya mampu bangkit kembali jika kepimpinan meraikan teguran, memperkukuh disiplin sebenar dan kembali fokus kepada perjuangan asal parti.

“Dalam konteks ini, keberanian Lokman menjadi peringatan bahawa parti memerlukan keterbukaan dan kejujuran untuk memulihkan keyakinan rakyat menjelang PRU akan datang,” katanya.