PEMIMPIN dan ahli UMNO yang tidak berpuas hati dengan sebarang isu dalaman parti diminta menggunakan saluran yang sewajarnya, termasuk membuat laporan kepada Lembaga Disiplin.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebagai parti bersejarah yang ditubuhkan pada 1946, UMNO mempunyai prosedur dan mekanisme tersendiri dalam menangani isu membabitkan disiplin.
Menurut beliau, setiap permasalahan dalam parti lazimnya diselesaikan melalui perbincangan serta libat urus di peringkat dalaman.
“Kalau siapa tak puas hati, dia boleh bawa dalam perbincangan. Saya tidak ada masalah. Kalau siapa puas hati, tak puas hati dia boleh bawa dalam perbincangan,” katanya semalam.
Azalina berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbalahan antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.