Pemuda bukan hanya berdepan musuh politik

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Pemuda UMNO bahawa mereka bukan hanya berdepan dengan lawan daripada parti politik.

Sebaliknya, tegas Presiden UMNO, hari ini cabaran mereka lebih rumit kerana perlu berdepan dengan algoritma media sosial, persepsi yang dimanipulasi dan politik pascakebenaran yang mengangkat sentimen melebihi fakta.

Beliau berkata, selama lebih tujuh dekad, Pemuda UMNO adalah benteng apabila parti diasak, menjadi lidah paling lantang apabila maruah bangsa dicabar dan merupakan tenaga paling ampuh apabila rakyat perlukan pembelaan.

“Sebagai pemimpin yang lahir dari kilang Pemuda, saya amat memahami kepelbagaian latar dan kerencaman yang ada di dalam institusi ini.

“Lalu kita dihimpunkan sebagai pewaris legasi sebuah perjuangan ini atas semangat kecintaan terhadap agama, bangsa dan tanah air,” katanya sempena Ulang Tahun Pemuda UMNO Ke-76 hari ini.

Zahid berkata, Pemuda UMNO tidak boleh hanya menjadi barisan sorak sebalikanya mereka mesti mencipta game changer serta menjadi narrative engine yang membina wacana, membentuk pengaruh dan menguasai psikologi massa.