PBS, STAR tolak kerjasama dengan BN

PARTI Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menolak kemungkinan bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional pada pilihanraya negeri Sabah akan datang.

Dalam satu kenyataan bersama Khamis lalu, pemangku presiden PBS Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam dan presiden STAR Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan berkata hasrat mereka ialah memperkukuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui parti komponennya.

“Kami tak akan bekerjasama dengan UMNO/BN pada PRN akan datang,” kata kenyataan itu.

Antara sebab keengganan mereka, antaranya ialah kenyataan permusuhan yang dilemparkan BN terhadap GRS selama ini.

GRS mempunyai lapan parti komponen tetapi hanya tiga yang mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri. Gagasan mempunyai 26 kerusi, PBS tujuh dan STAR enam kerusi.

Kenyataan itu dibuat lebih seminggu selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin GRS mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur. Turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Gunsalam dan Kitingan.