Tawaran PAS kepada MCA, MIC tak berbaloi

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelawaan PAS untuk MIC dan MCA menyertai Perikatan Nasional (PN) sekadar usaha memancing parti komponennya tanpa sesuatu yang menguntungkan.

Beliau berpendapat pelawaan itu bersifat pendirian peribadi Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Kita rasa kenyataan daripada Timbalan Presiden PAS itu adalah kenyataan peribadi beliau walaupun saya tahu ada usaha-usaha dijalankan oleh mereka untuk memancing rakan-rakan dalam komponen Barisan Nasional dengan tawaran-tawaran yang belum tentu menjanjikan satu manifestasi yang menguntungkan mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di sini, Selasa.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Tuan Ibrahim dalam satu wawancara menjelang Muktamar PAS Ke-71 di Kedah pada 11 hingga 16 September ini, yang diterbitkan Berita Harian, kelmarin.

Dalam wawancara berkenaan, Taun Ibrahim mengakui PAS tahu kekecewaan kedua-dua parti komponen BN itu yang tiada wakil dilantik dalam Kerajaan atau Kabinet Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai BN.

Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, MCA dan MIC bebas untuk menentukan hala tuju mereka, sehubungan itu PAS mengalu-alukan penyertaan mereka ke dalam PN.

Mengulas mengenai resolusi beberapa bahagian MIC yang mendesak parti itu keluar daripada gabungan BN, Ahmad Zahid berkata perkara itu belum dibincangkan secara rasmi di peringkat kepemimpinan.

“Resolusi itu hanya datang daripada satu atau dua bahagian sahaja dan pimpinan tertinggi mereka sendiri belum berbincang, apatah lagi membawanya ke Majlis Tertinggi BN,” katanya.

Cadangan Tuan Ibrahim itu menyusul selepas sekurang-kurangnya dua peringkat negeri MIC meluluskan resolusi untuk meninggalkan BN, disebabkan peluang yang tidak seimbang, termasuk isu lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pembahagian kerusi dan jawatan ahli majlis.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon, sebelum ini dilaporkan berkata wujud penolakan yang semakin meningkat dalam kalangan ahli MCA terhadap hubungan rapat UMNO dengan DAP, yang selama ini adalah seteru politik utama mereka, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap peranan masa depan MCA dalam BN.

MIC menyertai Perikatan bersama UMNO dan MCA pada 1955 sebelum Perikatan bertukar nama kepada BN sejak 1974.