NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukan khas itu bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU bekenaan secara terperinci sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar.
Jelas beliau, konvensyen itu bakal melibatkan kepimpinan tertinggi UMNO dari negeri-negeri dan bahagian-bahagian seluruh negara.
Selain itu, ujarnya, konvensyen tersebut juga akan melibatkan parti-parti politik Melayu; pertubuhan bukan kerajaan (NGO); ahli akademik dan masyarakat sivil yang akan diadakan hujung bulan ini.
“Resolusi Konvensyen Melayu Bandar kelak akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan, Rabu.
Media minggu lalu melaporkan, perbahasan dan pengundian RUU PSB 2025 ditunda ke sidang Dewan Rakyat akan datang yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.
RUU itu berdepan penolakan kuat daripada pelbagai pihak khususnya daripada wakil rakyat pembangkang termasuk beberapa Ahli Parlimen kerajaan daripada BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.