BN tolak GRS, sedia kerjasama dengan PH

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah memutuskan tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO berkata UMNO dan BN Sabah bagaimanapun kekal menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya berkenaan.
“Kami mengekalkan kerjasama BN-PH. Namun, BN Sabah dan UMNO Sabah memutuskan secara muktamad tidak akan ada kerjasama dengan GRS. Sekian terima kasih,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, tengah malam tadi.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan mesyuarat tertutup dengan barisan pemimpin UMNO Sabah di sini yang turut dihadiri Pengerusi Badan Pimpinan UMNO Sabah yang juga Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Mengikut peruntukan, Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.