UMNO tepis laporan Ilham Centre mengenai Sabah

UMNO menepis dapatan kajian Ilham Centre yang mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat mempunyai kelebihan menguasai Plihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) akan datang dengan kekuatan parti itu sekata di semua wilayah.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, parti itu atas prinsip demokrasi menghormati dapatan terbabit namun mendakwanya tidak berpijak di bumi nyata dengan mempersoalkan kayu ukur digunakannya.

Tegasnya, sejarah politik negara membuktikan kelebihan jentera kerajaan tidak menjamin kemenangan dan UMNO akan membuktikan perkara itu pada PRN17 tidak lama lagi.

Beliau mendakwa dapatan pihaknya di lapangan mendapati wujud sentimen sebaliknya terhadap kerajaan GRS diketuai Datuk Seri Hajiji Noor atas beberapa faktor seperti masalah tiga serangkai iaitu air, elektrik dan jalan yang belum selesai.

“Keyakinan semakin pudar terhadap GRS juga dilihat melalui integriti dan dakwaan rasuah serta ekonomi rakyat yang semakin mengecil.

“Janji peluang pekerjaan hanya tinggal retorik, realitinya kehidupan semakin terhimpit dengan kos sara hidup meningkat tanpa pelan ekonomi yang menyentuh isi perut rakyat,” katanya.