PENGERUSI BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa parti itu tidak akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Bagaimanapun, beliau menjelaskan UMNO dan BN telah mengenal pasti jumlah kerusi yang difikirkan sesuai untuk ditandingi.
“Yang pasti kita tidak akan bertanding di seluruh 73 kerusi untuk PRN Sabah ke-17 ini. Tetapi ada jumlah-jumlah kerusi yang kita fikirkan di mana kita akan meletakkan calon berdasarkan kepada kebolehmenangan.
“Saya akan umumkan berapa kerusi yang akan kita muktamadkan. Yang penting kerusi-kerusi ini adalah kerusi yang kebolehmenangannya tinggi dan kita akan kerjasama dengan ‘the third force’ di negeri Sabah ini untuk menentukan bahawa kerusi-kerusi itu akan memihak kepada calon-calon BN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan acara Flag Off Skuad Sukarelawan BN Sabah di bangunan UMNO Sabah di sini pada Sabtu.
Mengulas mengenai kemungkinan BN akan bertanding di lebih banyak kerusi berbanding 14 DUN yang dimenangi sebelum ini, Zahid berkata, parti itu pasti akan menambah jumlah kerusi baharu.