Malaysia tidak ada pangkalan Hamas – TPM

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan mustahil untuk Malaysia dijadikan sebagai pangkalan dan pusat operasi kepada anggota Hamas.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata dakwaan itu yang dibuat penganalisis kewangan keganasan di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer jelas sekali tidak benar.

Malah beliau berkata Malaysia sudah mengambil tindakan pemantauan yang ketat dalam mengawal aktiviti berunsur keganasan dalam negara ini.

“Memang tidak ada pangkalan melatih (Hamas) apatah lagi dijadikan sebagai pangkalan untuk Hamas ini. Kita ketahui bahawa ini adalah tuduhan yang sudah dinafikan oleh Ketua Polis Negara (Datuk Seri Mohd Khalid Ismail).

Kita memang mempunyai pemantauan keganasan di bawah PDRM (Polis Diraja Malaysia) khususnya cawangan khas. Memang PDRM waktu saya jadi Menteri Dalam Negeri, kita buat pemantauan dan mustahil untuk Malaysia dijadikan pangkalan Hamas,” katanya di Bangi, hari ini.

Mohd Khalid semalam menafikan Malaysia dijadikan pusat operasi anggota Hamas, sebaliknya menjelaskan perjuangan rakyat Palestin dekat di hati rakyat Malaysia kerana negara ini berteraskan Islam, justeru pelbagai bentuk bantuan berterusan disalurkan.

Sebelum ini, media melaporkan Jonathan mencipta kontroversi apabila mendakwa Malaysia sudah lama menjadi pusat operasi anggota Hamas.

Dalam satu hantaran di platform X, Jonathan turut menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berminat dengan perdamaian.

Kritikan itu muncul selepas Anwar menegaskan pendirian Malaysia untuk terus menyokong Palestin dan menggesa supaya hubungan dengan Israel diputuskan kerana Gaza terus dihancurkan, manakala Tebing Barat dirampas.