Dr Akmal cabar Woo putuskan hubungan

KETUA Pemuda Datuk Dr Akmal Saleh mencabar rakan sejawatnya dari DAP, Woo Kah Leong agar memutuskan hubungan dengan UMNO berikutan kenyataan ketua pemuda DAP itu bahawa partinya, UMNO dan MCA ‘tidak sekata dan mempunyai haluan berbeza’.
Dalam catatan di Facebooknya Sabtu lalu, Akmal turut menyiarkan keyataan Woo di sebuah akhbar berbahasa Cina.

“Saya cabar ketua pemuda DAP agar memberitahu bosnya (setiausaha agung Loke Siew Fook) agar memutuskan hubungan dengan UMNO segera. Kalau setakat cakap kosong, baik tak payah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Merlimau itu.

Woo membuat kenyataan itu di satu majlis Jumaat lalu dengan berkata bahawa kerjasama di antara parti dalam Kerajaan Perpaduan hanya wujud di peringkat Persekutuan tetapi tidak di peringkat pemuda.