RUU PSB dirujuk ke JK Khas Parlimen

RANG Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) yang dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada minggu depan di Dewan Rakyat dicadang dirujuk terlebih dahulu ke Jawatankuasa Khas Parlimen bagi membolehkan semakan menyeluruh dibuat.

Ketua Pasukan Khas UMNO untuk Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keputusan itu penting supaya RUU berkenaan tidak hanya dibentangkan secara terus tetapi ditambah baik dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

Johari yang juga Naib Presiden UMNO berkata, parti itu tidak menolak pembangunan semula bandar, namun menegaskan ia perlu dilakukan secara tersusun tanpa mengabaikan kepentingan pemegang taruh.

“Kita telah memperoleh pelbagai dapatan hasil penganjuran Konvensyen PSB,” katanya ketika sidang akhbar selepas Konvensyen PSB di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Terdahulu, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menyerahkan resolusi konvensyen itu kepada Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.