Jelas tokoh dikenali Ku Li itu, walaupun Umno hanya menang 26 kerusi Parlimen pada PRU15 — keputusan paling buruk dalam sejarah parti — parti itu masih mempunyai peranan penting dalam politik negara.
Namun, katanya, Umno perlu terlebih dahulu membersihkan parti daripada ‘pemimpin mementingkan diri sendiri’ untuk mengembalikan kedudukannya sebagai parti utama negara.
Ahli Parlimen Gua Musang selama 11 penggal itu berkata, ahli politik mengutamakan kepentingan peribadi berbanding parti perlu disingkirkan kerana tindakan mereka tidak selari dengan masa depan negara dan generasi akan datang.
Menurutnya, Umno hanya boleh kembali relevan jika dipimpin kepimpinan kuat, adil dan bertanggungjawab.
“Umno kunci kepada kestabilan negara. Jika tidak kembali berkuasa dengan pemimpin betul, saya rasa ketidakstabilan ini akan berterusan.
“Itu tidak baik untuk rakyat,” katanya dalam satu temu bual khas dengan FMT.
Tengku Razaleigh berkata Umno sentiasa memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju negara sejak perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.
Walaupun kehilangan kuasa kerajaan persekutuan pada 2018, Umno kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan pada 2020 dan kini kekal sebagai parti penting dalam kerajaan perpaduan, walaupun tidak memegang jawatan tertinggi.
“Tidak benar jika dikatakan Umno semakin lemah dan hilang pengaruh. Umno masih parti terbesar dari segi jumlah keahlian, cuma tidak lagi menang banyak kerusi Parlimen seperti dahulu,” katanya.
Tengku Razaleigh berkata kejatuhan Umno berpunca daripada perpecahan dalaman dan kewujudan parti serpihan, merujuk kepada penubuhan Bersatu oleh bekas pemimpin Umno Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin selepas skandal 1MDB.
Dalam PRU15, Parlimen tergantung menyebabkan tiada parti mempunyai majoriti. Namun, 30 kerusi dimenangi Barisan Nasional pimpinan Umno menjadikannya penyokong utama kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Walaupun ada pihak mempersoalkan kesepaduan dan kekuatan kerajaan perpaduan — terutama kerjasama Umno dengan musuh lamanya, DAP — kerajaan itu kekal walaupun berdepan ancaman awal.
Tengku Razaleigh berkata Perhimpunan Agung Umno (PAU) dijadualkan November ini akan menjadi penentu penting kepada hala tuju parti.
Beliau mengingatkan supaya PAU tidak ditangguhkan lagi selepas ditunda dari Ogos ke November kerana PRN Sabah semakin hampir.
“Saya harap ia tidak ditangguhkan lagi kerana perlembagaan parti tidak membenarkannya.
“Jika ada tarikh akhir, ia perlu dipatuhi dan biarlah ahli-ahli memutuskan masa depan parti.
Ini akan menentukan ke mana arah negara selepas ini.
“Jika Umno sendiri tidak pasti tentang masa depannya, bagaimana parti itu boleh menentukan masa depan negara?” katanya.
