Kenapa parti Melayu masih gagal bersatu?

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian bahawa partinya sentiasa terbuka untuk menyatukan semua parti Melayu yang benar-benar ikhlas berbuat demikian.

Katanya, usaha ke arah itu mestilah ada keikhlasan dan bukannya untuk mencari kepentingan peribadi.

“Kami bekerjasama dengan semua parti dan sedia berbuat demikian bila-bila masa asalkan ada keikhlasan, demi martabat Islam dan Melayu di negara ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Zahid mengimbau bagaimana Umno di satu ketika dahulu melancarkan Muafakat Nasional demi kesatuan parti Melayu tetapi ia dinodai oleh rakan yang tidak jujur.

MN ialah pakatan politik yang ditubuhkan pada 2019 di antara Umno dan PAS bagi memperkukuhkan kedudukan politik Melayu di negara ini.

Ia bertujuan mewujudkan kestabilan politik Melayu dan mencapai kejayaan pada mana-mana pilihanraya. Bagaimanapun, ia runtuh apabila PAS beralih kepada Perikatan Nasional dengan mengutamakan Bersatu daripada Umno.

“Eksploitasi ini dilakukan oleh sebuah parti ke atas semua parti lain – jadi, bagaimana kita dapat satukan semua parti Melayu jika tidak ada keikhlasan?

“Malah, mereka sanggup mengkhianati sekutu sendiri walaupun tahu ia akan melemahkan rakan yang lain,” katanya.

Zahid turut merujuk kepada masalah dan perpecahan dalam PN hari ini, dengan berkata ia berlaku apabila rakan dalam PN tidak lagi melihat Bersatu sebagai dominan.

Timbalan perdana menteri berkata, Umno kekal mahu bekerjasama dengan semua parti, termasuk yang pernah ditentangnya jika kerjasama itu membawa faedah kepada negara dan rakyat serta mengekalkan hak Islam dan Melayu dan Perlembagaan.

“Ini terbukti kerjasama dengan bekas seteru PRK apabila kedua-dua pihak ikhlas dalam penyatuan itu.

Mengenai kerjasama Umno dan DAP, beliau berkata perselisihan kecil di peringkat akar umbi tidak menjejaskan sama sekali pendirian pucuk kepimpinan.

Katanya, Kerajaan Perpaduan hari ini sudah pun membuktikan kestabilan dalam beberapa siri pilihanraya kecil walaupun ada kritikan daripada sayap pemuda.

Zahid turut mengesahkan hasratnya untuk mengekalkan kerajaan sekarang sehingga pilihanraya umum ke-16 sambil menyifatkan ianya perlu dalam skop politik negara.