“Pendapat Pemuda bukan pandangan MKT”

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pendapat dan pandangan Pemuda mengenai DAP bukan mencerminkan pendirian Majlis Kerja Tertinggi parti.
Dalam memelihara kerjasama dengan DAP di dalam Kerajaan Madani, beliau berkata isu kecil yang wujud di antara Pemuda kedua-dua parti adalah cara mereka dan tidak sama sekali menjejaskan hubungan dalam kerajaan.
Katanya, prinsip yang sama diamalkan oleh barisan Pemuda, malah ketika beliau sendiri menerajui sayap itu pada tahun 90an.

“Jika kita kaji pandangan Pemuda, ia bukanlah pendapat MKT.

Tetapi inilah cara Pemuda, malah pada zaman saya. Biarkan ini menjadi cara mereka, kita layan seperti biasa,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sengketa di antara Umno dan DAP walaupun bersama dalam kerajaan sejak tiga tahun lalu.

Ogos lalu, ada gesaan daripada Pemuda DAP agar mereka memutuskan hubunan dengan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh

Dua minggu lalu, Akmal mencabar rakan sejawatnya Woo Kah Leong agar memutuskan hubungan dengan Umno selepas Woo membuat kenyataan bahawa sayap DAP dan Umno tidak sehaluan.

Zahid juga berkata DAP tak pernah mengganggu kawasan Umno, dan begitu juga sebaliknya.