PRN ke-17 Sabah ditetapkan 29 November

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan berlangsung pada 29 November depan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun (gambar) selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas berkaitan tarikh-tarikh penting PRN17 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.
Ramlan berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 15 November dan 25 November.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN17 membabitkan daftar pemilih tambahan Ogos 2025, yang dikemas kini hingga 5 Oktober.
Berdasarkan DPPR berkenaan, seramai 1,784,847 pengundi berdaftar layak menjalankan tanggungjawab dalam PRN17.
Pada 6 Oktober lalu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik.
Pada PRN16, GRS yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) serta sokongan Ahli DUN bebas, berjaya membentuk kerajaan Sabah dengan memperoleh 41 daripada 73 kerusi dipertandingkan.
Parti Warisan (Warisan) pula meraih 23 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan kerusi.