BN tidak akan halang MIC keluar, kata Zahid

BARISAN Nasional tidak akan menghalang MIC atau mana-mana parti komponennya untuk keluar dari pakatan itu, kata pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, dia percaya MIC boleh membuat keputusan bijak pada sidang tahunannya bulan depan, dan berharap mereka tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan yang boleh merugikan masa depan sendiri.

“Kami terbuka. BN pernah ada 14 parti komponen, dan tidak paksaan untuk tetap bersama BN atau meninggalkannya,” katanya di Shah Alam, Jumaat lalu.

MIC dan MCA sejak akhir-akhir ini banyak dilaporkan mahu meninggalkan pakatan politik itu dengan menyatakan rasa tidak puas hati penyertaan BN di dalam Kerajaan Perpaduan.

Julai lalu, MIC berkata ia seperti ‘tidak diperlukan’ manakala timbalan presidennya M Saravanan mendakwa ‘ditipu’ selepas dijanjikan jawatan Kabinet selepas pilihanraya umum ke-15.

Zahid sebelum ini berkata sudah berbincang dengan pemimpin kedua-dua parti beberapa kali minggu lalu tetapi dinafikan oleh presiden MIC, SA Vigneswaran.

Mengenai keputusan MIC menjemputnya ke persidangan itu, Zahid berkata ia adalah perkara biasa.