UMNO menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan memberikan 40 peratus tuntutan hasil bumi Sabah, kata presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,
“Ya, kita hormati keputusan itu,” kata Zahid kepada media di Kota Kinabalu, Sabtu lalu.
Dari perspektif kerajaan, katanya mereka akan mengkaji semula keputusan itu.
“Kita serahkan kepada budi bicara perdana menteri untuk membawanya ke Kabinet,” katanya.
Ditanya sama ada ia akan dilaksanakan jika Barisan Nasional menjadi kerajaan di Sabah selepas PRN, Zahid berkata semua tuntutan Sabah akan dikaji, termasuk yang boleh dijadikan manifesto pilihanraya.
Sementara itu, Umno Sabah menggesa Peguam Negara agar tidak membuat rayuan terhadap keputysan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu kerana ia boleh menjejaskan hubungan negeri dan pusat.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata sebarang rayuan akan hanya ‘menambah luka’ rakyat Sabah dan merosakkan hubungan kerajaan negeri dan persekutuan.
“Jika Peguam Negara meneruskan rayuannya, Umno Sabah tak akan berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesan perlantikan sebuah badan khas bagi menilai jumlah tuntutan Sabah sejak tahun 1974, dengan berkata sebarang bentuk bayaran mestilah ‘adil, telus dan sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963’.