Penganalisis politik Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah berkata, pengundi amat mengkehendaki Sabah dipimpin parti dan pemimpin tempatan, seterusnya Umno berisiko terasing daripada pengundi jika terus kekal bersikap tidak endah.
“Umno berisiko dituduh memandang rendah terhadap pandangan yang semakin berpengaruh di Sabah ini. Mereka akan menghadapi kesukaran mendapat kerusi jika meneruskan sikap berkenaan,” katanya kepada FMT.
Romzi berkata, Umno mesti menyesuaikan pendekatannya dan mengorak langkah seiring sentimen kini, serta selaras dengan realiti politik di lapangan.
“Di Sabah, semua orang berminat untuk memastikan Sabah akan dipimpin parti tempatan. Mereka benar-benar mahu memastikan Sabah dikawal oleh orang Sabah, tanpa pembabitan ‘parti Malaya’,” katanya.
Terdahulu, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin menyifatkan ‘Sabah for Sabahans’ sebagai ‘umpan politik’ dan mempertikaikan keikhlasan parti yang mendakwa memperjuangkan hak Sabah tetapi masih tidak mampu bersatu sesama mereka.
Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi turut menolak slogan itu, dan mengatakan Umno Sabah telah diberi kuasa autonomi dan tidak dilihat sebagai ‘parti Malaya.’
Bagaimanapun, Romzi berkata walaupun Umno Sabah memberi gambaran ia berautonomi, tetapi masih kekal persepsi bahawa ia masih perlu mematuhi pemimpin di peringkat persekutuan.
Sementara itu rakan penganalisis politiknya di UMS Syahruddin Awang Ahmad berpendapat usaha Umno Sabah untuk meletakkan kedudukan sebagai parti tempatan dengan mendakwa memiliki autonomi mungkin memakan diri jika pengundi melihatnya sebagai sekadar muslihat politik.
Menurutnya, sekalipun Umno Sabah menikmati fleksibiliti dari segi pemilihan calon, parti negeri dan BN akan terus seiring dengan kepimpinan parti di peringkat kebangsaan.
Syahruddin turut memetik pergerakan calon bebas yang digelar ‘Gelombang Hitam’, sebagai menunjukkan trend baharu dalam politik Sabah.
“Ia pergerakan selaras calon bebas yang berikrar bertanding di bawah satu payung kolektif. Jika pemimpin parti tidak dicalonkan semula, mereka berkemungkinan bertanding sebagai calon bebas, sebagai wajah terkenal yang masih mendapat sokongan kuat akar umbi,” katanya.
Syahruddin berkata, ini membayangkan peralihan lebih mendalam, dalam arena politik Sabah.
“Orang mengundi untuk individu, bukan parti. Parti sekadar platform atau tiket untuk bertanding,” katanya.