PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menasihati pengundi negeri itu supaya tidak lagi terpedaya dengan slogan ‘Sabah for Sabahan’ (Sabah untuk rakyat Sabah) atau parti tempatan.
Tambah bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu, parti tempatan sering menjadikan slogan berkenaan sebagai umpan politik untuk menarik undi rakyat Sabah, namun beliau membangkitkan persoalan, jika benar parti terbabit memperjuang hak negeri, mengapa wujud begitu banyak parti tempatan yang tiada satu pun mampu bersatu sesama mereka.
“Hakikatnya mudah semua mahu berkuasa, bukan berkhidmat. Sehingga kini sekurang-kurangnya 10 parti tempatan Sabah yang diiktiraf secara sah pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), namun masing-masing berebut kerusi dan pengaruh.
“Ini bukan perjuangan rakyat, ini perebutan kuasa. Slogan ‘Sabah for Sabahan’ dan parti tempatan akhirnya hanya jadi perisai untuk menutup kelemahan dan tamak kuasa,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Bagi BN Sabah, beliau menegaskan tidak perlu terlalu banyak parti politik untuk memperjuangkan nasib rakyat, sebaliknya memerlukan hanya satu halatuju yang jujur, stabil dan berpaksikan kepentingan rakyat.