MIC tangguh keputusan tinggalkan BN

JAWATANKUASA Kerja Pusat (CWC) MIC akan meneliti usul perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 hari ini untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) bagi menentukan langkah seterusnya, kata Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran.

Keputusan untuk keluar dari Barisan Nasional, dengan itu ditangguhkan.

Beliau berkata perwakilan turut memberi mandat kepada beliau dan CWC untuk menetapkan hala tuju parti selepas ini.

Bagaimanapun, Vigneswaran menegaskan MIC kekal memberi sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga mandat beliau berakhir, tanpa mengira apa jua keputusan politik yang bakal diputuskan.

“Kita masih teguh memberi sokongan kepada beliau (Anwar) bagi tempoh dua tahun akan datang. Kita tetap kotakan janji. Kita tidak bersama parti lain.

Lima tahun kita telah memberi jaminan bahawa kita akan memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri (Anwar) dan ini akan diteruskan,” katanya pada sidang media selepas menggulung perbahasan perwakilan sempena perhimpunan itu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, hari ini.

Vigneswaran berkata beliau juga telah memberi penjelasan kepada Anwar mengenai kekangan serta situasi yang berlaku dalam MIC dan menegaskan ia bukan disebabkan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata MIC belum memutuskan penyertaan dalam mana-mana gabungan politik, dan keputusan rasmi untuk meninggalkan BN juga belum dimuktamadkan.

“Hari ini kuasa untuk membuat keputusan berkenaan hala tuju MIC dan apa yang sepatutnya diambil oleh MIC diberi kepada pucuk pimpinan. Selepas ini kita akan berbincang dengan pihak berkaitan,” katanya.

Terdahulu, perwakilan MIC sebulat suara menyokong usul menamatkan penyertaan dalam BN dan menyerahkan kepada kepimpinan parti menentukan masa yang sesuai bagi berbuat demikian serta membentuk jajaran baharu.

Mengulas lanjut, Vigneswaran berkata beliau telah bertemu Anwar pada Jumaat lepas (14 November) bagi membincangkan situasi yang dialami MIC dalam BN.

Beliau berkata Perdana Menteri bersikap terbuka serta memahami kedudukan dan dilema yang dialami parti itu.

Tambah beliau tindakan parti ketika ini bukan bermotifkan politik semata-mata, sebaliknya memastikan sebarang perkongsian kuasa dilaksanakan berasaskan maruah dan prinsip.