BN tawar Sabah manifesto menyeluruh

BARISAN Nasional (BN) semalam melancarkan manifestonya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan memperkenalkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang menawarkan enam teras utama bagi memacu pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, ketika membentangkan manifesto itu berkata RPS1 dirangka secara komprehensif merangkumi aspek Kemakmuran Ekonomi dan Kesejahteraan Hidup, Wanita dan Orang Muda sebagai Tonggak Negara, serta Pendidikan Berkualiti Untuk Semua.

Beliau yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan berkata RPS1 turut menekankan agenda Transformasi Politik dan Tadbir Urus, Masyarakat Sihat dan Negeri Berkebajikan serta Kelestarian Sumber Alam.

“RPS1 ini disusun rapi dan diperhalusi setelah mengambil kira keperluan seluruh rakyat Sabah. Politik bukan matlamat, tetapi adalah wadah untuk membangunkan Sabah,” katanya.

Turut hadir pada pelancaran yang diadakan di Bangunan UMNO Sabah di sini ialah Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Salleh berkata melalui teras Kemakmuran Ekonomi dan Kesejahteraan, BN berhasrat menubuhkan Dana Kemakmuran Negeri Sabah sebagai simpanan dan pelaburan jangka panjang untuk manfaat rakyat serta generasi akan datang.