MIC terbuka untuk bertemu dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN) sekiranya dipelawa bagi membincangkan masa depan parti itu dalam gabungan berkenaan.
Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, MIC tidak pernah menganggap gabungan yang dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu dan UMNO sebagai musuh.
“Buat masa ini kita belum dapat jemputan untuk adakan pertemuan dengan BN. Boleh berjumpa bila-bila masa. Semua orang kena faham BN atau UMNO dengan MIC bukan musuh pun, kita bersama lebih 60 tahun.
Pada Rabu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, usaha Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu mengatur perjumpaan dengan pimpinan tertinggi MIC untuk perbincangan disifatkan sebagai pendekatan terbaik.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, perwakilan MIC ketika AGM ke-79 yang berlangsung di Shah Alam, sebulat suara menyokong usul menamatkan penyertaan dalam BN dan menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan masa yang sesuai bagi berbuat demikian serta membentuk jajaran baharu.
