3 calon di Kinabatangan, 2 di N58 Lamag

PILIHANRAYA kecil Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag secara rasmi menyaksikan pertembungan politik sengit apabila Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru manakala Lamag pula menjadi gelanggang dua parti utama, sekali gus dilihat sebagai medan awal menguji kekuatan parti-parti politik di Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan urusan penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu telah berlangsung lancar hari ini dari jam 9 pagi hingga 10 pagi di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan, dengan tiga kertas penamaan diterima bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan dua bagi kerusi DUN Lamag.

Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Mohd. Naim Kurniawan Moktar dan Mohd. Ismail Ayob masing-masing bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

Kehadiran kedua-dua calon itu diiringi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan; Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Bagi memastikan kempen berjalan secara teratur, empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) telah ditubuhkan untuk memantau semua aktiviti kempen di kedua-dua kawasan.

Seramai 39 pemerhati pilihan raya daripada sembilan organisasi turut dilantik bagi memantau perjalanan PRK Kinabatangan dan Lamag bagi memastikan ketelusan serta integriti proses pilihan raya.

Dalam pada itu, SPR mengingatkan semua calon dan parti politik supaya mematuhi undang-undang serta peraturan kempen termasuk penggunaan bahan kempen yang tidak menyentuh sensitiviti perkauman, keagamaan atau mengandungi unsur hasutan.

PRK Kinabatangan dan Lamag diadakan susulan kekosongan kerusi berkenaan, dan keputusan pilihan raya kecil ini dijangka menjadi penanda aras penting kekuatan sokongan parti-parti politik utama menjelang persaingan politik Sabah seterusnya.