TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini supaya dilepas dan dibebaskan (DNA) sepenuhnya daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid selaku pemohon, memfailkan perkara berkenaan dengan menamakan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai responden minggu lalu.
Ketika ditemui selepas prosiding, beliau berkata, pembelaan mengambil langkah berkenaan selepas AGC memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) diambil dalam kes membabitkan Presiden UMNO tersebut.
“Susulan kenyataan media terbabit, kami membuat permohonan DNA pada 28 Januari dan AGC telah memperoleh permohonan itu, dua hari kemudian.
“Memandangkan anak guam telah diberi perintah DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 4 September 2023, maka tidak adil sekiranya pertuduhan itu masih tergantung atas kepala dia,” katanya.
Beliau berkata, permohonan itu yang turut disertakan dengan sijil perakuan segera untuk didengar, diserahkan kepada AGC pada tarikh sama.
Sementara itu semasa prosiding, Timbalan Ketua Pendakwaan, Datuk Badius Zaman Ahmad mengesahkan telah menerima permohonan tersebut, Jumaat minggu lalu.
“Memandangkan masa yang terlalu singkat, kami harap prosiding pendengaran permohonan tersebut ditangguhkan ke tarikh lain.
“Kami memerlukan masa dua minggu lagi, untuk memfailkan afidavit,” katanya yang kemudian tidak mendapat bantahan daripada pihak pembelaan.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor mengarahkan responden memfailkan afidavit jawapan pada atau sebelum 13 Februari.
“Mahkamah menetapkan hujahan pendengaran permohonan pada 24 Februari ini,” kata hakim.
Dalam prosiding ini, Ahmad Zahid tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguamnya.
Selain Hisyam, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, turut diwakili peguam, Datuk Hamidi Mohd Noh, Fatini Athirah Baharin, Atiqa Nazihah Azmi, Nur Khairunnisa Sabirah Abdul Manan dan Nurul Hannah Mohd Nazri.
Pada 4 September 2023, Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memberi perintah DNAA kepada ahli politik berusia 73 tahun berhubung kes berkenaan.
Pada 8 Januari, AGC berkata, siasatan lanjut dan terperinci dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, ia merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana tersebut termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada jabatan selepas Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri.
Jabatan itu berkata, setelah meneliti keseluruhan bahan, keterangan baharu dan hasil siasatan lanjut termasuk penilaian serta pertimbangan pendakwaan, mereka mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong bagi meneruskan pendakwaan dalam semua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tersebut berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana yayasan itu untuk membuat enam pembayaran kad kredit persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd.
Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
