BEKAS Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, diperintah menjalani hukuman penjara selama enam tahun bermula Selasa oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya atas sembilan kes rasuah berjumlah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Ini bermakna pemimpin berusia 77 tahun itu akan menyambut Ramadan dan Syawal di sebalik tirai besi.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Nordin Hassan, yang bersidang bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, memutuskan demikian selepas menerima rayuan pendakwaan selaku perayu untuk mensabitkan semula bekas Naib Presiden UMNO itu.
Mendengar keputusan itu, ahli keluarga Mohd Isa yang berada di galeri awam menangis selepas pihak polis membawanya ke lokap.
Mereka juga tidak sempat memeluk bekas veteran UMNO itu sebelum dia dibawa ke Penjara Sungai Buloh.
Semasa membaca keputusan sebulat suara, Nordin berkata panel mendapati keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan bekas ahli politik itu adalah terkhilaf.
“Kami dapati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah tepat dan selamat. Tiada sebab untuk kami mengganggu keputusan yang mensabitkan Mohd Isa selaku responden atas semua kesalahan berkenaan dan mahkamah ini mengesahkan keputusan itu,” katanya.
Dalam prosiding ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz selaku perayu, manakala peguam M. Athimulan dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat hadir bagi pihak responden.
Pada 3 Februari 2021, Mohd Isa dihukum penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan.
