PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa gabungan itu akan menentukan nasib MIC sekiranya kepimpinan parti tersebut terus gagal membuat keputusan jelas, sama ada mahu kekal dalam BN atau sebaliknya.
Beliau berkata, perwakilan MIC sebelum ini telah memberikan kuasa penuh kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan, namun sehingga kini pendirian muktamad masih tidak ditentukan.
“Jika kepimpinan semasa tidak mampu membuat keputusan, maka saya ingin tegaskan sekali lagi, sekiranya mereka tidak membuat keputusan, kami akan membuat keputusan.
Kita tidak mahu keadaan pagi cakap lain, petang cakap lain, esok cakap lain,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Makkal Sakti ke-17 di Butterworth, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, BN turut mengambil maklum kewujudan salinan surat yang tersebar, didakwa ditandatangani kepimpinan MIC berhubung permohonan untuk kembali menyertai Perikatan Nasional (PN), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesetiaan parti berkenaan.
Menurutnya, MCA dan MIC merupakan antara parti yang membentuk pakatan politik sejak sebelum kemerdekaan dan sejarah tersebut perlu dihormati.
