BN kekalkan kerusi Lamag, Kinabatangan

BARISAN Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Kejayaan itu diraih menerusi kemenangan Mohd Kurniawan Naim Moktar yang dinobatkan sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan, manakala Mohd Ismail Ayob dipilih secara rasmi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag.

Naim mencatat kemenangan besar di Parlimen Kinabatangan apabila memperoleh majoriti 14,214 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Beliau meraih 19,852 undi, mengatasi pencabar dari Parti Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman yang memperoleh 5,638 undi, manakala calon Bebas, Goldam Hamid, meraih 946 undi.

Bagi kerusi DUN Lamag pula, Mohd Ismail Ayob turut mencatat kemenangan selesa dengan majoriti 5,681 undi menewaskan calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek.

Dalam pertembungan satu lawan satu itu, Mohd Ismail memperoleh 7,269 undi manakala Mazliwati mencatat 1,588 undi.

Pilihan raya kecil berkenaan diadakan berikutan pemergian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu pada usia 66 tahun.