BERSATU disaran mengadakan perbincangan secara rasmi jika mahu bekerjasama dengan UMNO, termasuk menyertai kembali parti itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata perbincangan rasmi termasuk menulis surat rasmi menyatakan hasrat mereka itu perlu dibuat bagi membolehkan ia dibincangkan MKT UMNO.
“Tidak ada perbincangan di peringkat MKT mengenai apa yang dicadang Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada mesyuarat baru-baru ini.
“Malah mesyuarat MKT sebelum ini juga tidak pernah membincangkan mengenai (kerjasama dengan BERSATU) isu ini.
“Tentunya perkara penting sebegini perlu dibincang di peringkat MKT UMNO.
“Jika BERSATU mahu lakukan (kerjasama dengan UMNO) atau mahu pun berkeinginan menyertai UMNO semula, kemukakan surat supaya perbincangan rasmi dapat dibuat.
“Jangan asyik bangkitkan perkara ini (di media) kerana jika tiada permohonan, macam mana ia hendak dibincangkan secara rasmi di peringkat MKT UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Jelajah Revolusi Pembinaan CR4.0 dan myDigital Kontraktor (MDK), di Benut, Sabtu lalu.
Kelmarin, Hamzah dilaporkan berkata BERSATU terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO, kerana kedua-dua parti berkongsi asas ideologi yang sama.
Hamzah dilaporkan, bekas pemimpin MIC dan MCA juga sudah mendaftar untuk menjadi ahli BERSATU.
Ditanya mengenai saranan Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub semalam, supaya BERSATU membubarkan parti mereka dan kembali semula kepada UMNO, Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata, perkara itu tidak mustahil kerana ia pernah berlaku sebelum ini menerusi Semangat 46, pada 1996.
Katanya, Semangat 46 dibubarkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada Mei 1996, sebelum Presiden UMNO ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, menerima semula kesemua ahli parti itu memasuki UMNO semula secara ‘en bloc’.
“Jika BERSATU mahu lakukan perkara yang sama, tentunya ia akandibincang dalam MKT.
“Apa yang penting berbincang secara rasmi… tulis surat, jangan terus bangkitkan (berulang kali di media) sebegitu sahaja,” katanya.
