Cari pembaharuan atau Umno tutup kedai

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi khuatir UMNO akan `tutup kedai’ menjelang 20 tahun akan datang sekiranya corak sokongan rakyat kepada parti itu kekal seperti yang berlaku pada dua pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, disebabkan persepsi dan prasangka negatif, pengundi baharu yang pada mulanya berhasrat untuk mengenali UMNO, juga akan menjauhkan diri.

Oleh itu, beliau menggesa ahli-ahli UMNO khususnya barisan pelapis parti mencipta sesuatu yang luar biasa dalam menangkis persepsi dan prasangka negatif terhadap UMNO berkenaan.

“UMNO akan bangkit semula dengan syarat persepi negatif terhadap parti ini ditukar, maka kita mesti mampu mewujudkan `keluarbiasaan’, bukan hanya slogan atau retorik tetapi ia wajib dilakukan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun pertama Sekolah Politik UMNO (SPU) di sini, Ahad lalu.

Ditubuhkan kira-kira setahun lalu, SPU sehingga kini berjaya melahirkan seramai 158 orang Patriot yang terdiri 48 Patriot kumpulan perintis; 54 Patriot pengukuhan dan 56 Patriot peneraju.