Dr Akmal masih ketua Pemuda, kata Asyraf

SETIAUSAHA Agung Umno Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan beliau tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Datuk Dr Akmal Saleh untuk melepaskan jawatan ketua Pemuda seperti dilaporkan sebuah portal media.

“Tidak ada. Saya sebagai setiausaha agung parti tidak berpandukan kepada kata-kata di media sosial atau cakap-cakap berlegar,” katanya pada sidang media menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025.

Terdahulu, FMT melaporkan Setiausaha Pemuda Umno Hafiz Ariffin menafikan Akmal meletak jawatan ketua Pemuda dan Adun Merlimau.

Portal terbabit melaporkan Akmal didakwa menyatakan hasrat melepaskan jawatan berkenaan kepada sekumpulan pemimpin Pemuda Umno menerusi mesej WhatsApp, semalam.

Dalam pada itu, Asyraf turut menasihati Akmal supaya tidak mudah lemah semangat sekiranya cadangan dibangkitkan tidak diterima pucuk pimpinan.