Surat Hamzah nak sertai Umno adalah palsu

SURAT yang kononnya ditulis bekas timbalan presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai hasrat penyertaannya semula ke dalam parti itu adalah palsu dan tidak benar sama sekali.

Perkara itu dimaklumkan setiausaha akhbar Hamzah, Asron Mustapha.

Menurut Asron, imej surat yang menjadi tular di media sosial itu sejak tengah hari tadi merupakan satu percubaan terancang untuk mencemarkan imej Ahli Parlimen Larut tersebut.

“Hentikan ‘black ops’ ini, sudah-sudahlah sebar khabar angin mengenai Hamzah,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial imej surat bertarikh 23 Feb didakwa daripada Hamzah mengenai permohonan beliau untuk kembali menyertai UMNO.

Isi kandungan surat tersebut turut mengandungi permintaan Hamzah supaya diberi peranan kepimpinan dalam inisiatif Rumah Bangsa yang dibawa Ahmad Zahid.

Hamzah merupakan antara pimpinan BERSATU yang dipecat daripada parti 13 Februari lalu di tengah-tengah perebutan kuasa antara beliau dan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sejak itu, timbul khabar angin bahawa beliau bersama 18 individu lain akan menyertai parti baharu.