PRESIDEN Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan ahli-ahli parti itu supaya tidak menambah luka dengan mengutuk atau menghina UMNO yang disifatkan parti sahabat dalam Kerajaan Perpaduan yang sedang berdepan ujian kewangan dan penstrukturan semula.
Menurut beliau, apa yang melanda UMNO ketika ini boleh berlaku kepada mana-mana parti yang memerintah lain, termasuk Amanah.
Katanya, apabila berkuasa, pemimpin sering berdepan tekanan untuk menjaga parti, menyantuni penyokong dan mempertahankan kedudukan.
Dalam suasana itu, ujarnya, perebutan jawatan, kedudukan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC); syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan pelbagai institusi lain menjadi kebiasaan.
Dari situ, tambah beliau, politik wang mula berakar, dan akhirnya menyaksikan kejatuhan UMNO-Barisan Nasional (BN) pada tahun 2018.
Tegasnya, penyakit parti pemerintah itu bukan milik UMNO semata-mata, malah boleh menular kepada mana-mana parti yang memerintah, termasuk Amanah.
