Dr Akmal kekal Exco kerajaan negeri Melaka

KETUA Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan beliau menolak peletakan jawatan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilakukan Ketua Pemuda UMNO itu pada Januari lepas.

Beliau berkata justeru, Dr Muhamad Akmal diharap dapat meneruskan tugasnya sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri.

“Saya telah buat keputusan untuk menolak surat peletakan jawatan beliau sebagai Exco. Hak menerima atau menolak (peletakan jawatan) ialah hak ketua menteri,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Jus Fasa Dua di Jasin, semalam.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas status peletakan jawatan Dr Muhamad Akmal sebagai Exco sebelum ini.

Pada Januari lepas, media melaporkan Dr Mohamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Melaka yang disandang sejak April 2023.

Beliau mengumumkan keputusan tersebut di hadapan lebih 2,500 perwakilan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur ketika menyampaikan ucapan dasar pada majlis berkenaan.