Presiden parti, Zahid Hamidi berkata, pintu Rumah Bangsa sentiasa terbuka untuk pemimpin atau individu yang ingin bersama Umno semula, selaras objektif penubuhan gagasan tersebut.
“Sebagaimana objektif penubuhan Rumah Bangsa, ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin kembali atau menyertai Umno, sama ada secara individu mahupun berkumpulan.
“Umno ialah tempat untuk ahli Umno atau sesiapa sahaja yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu,” katanya ketika diminta mengulas kedudukan Hamzah dalam Bersatu, menurut Utusan Malaysia.
Zahid berkata, Umno mengambil pendekatan inklusif dalam usaha menyatukan kembali orang Melayu bawah satu wadah politik yang stabil dan berpengalaman.
Hamzah sebelum ini menjadi antara enam Ahli Parlimen Umno yang keluar parti itu pada 14 Dis 2018 dengan alasan hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Zahid ketika itu.
Bersatu yang berdepan krisis dalaman ketika ini dikatakan mengaitkan nama Hamzah sebagai antara pemimpin yang berdepan kemungkinan dikenakan tindakan disiplin termasuk pemecatan.
Hamzah dilaporkan dipanggil menghadap lembaga disiplin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan perhimpunan agung tahunan dan serangan terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
