Kita tak mahu dipatuk dua kali – Zahid

UMNO tidak mahu ‘dipatuk ular’ yang sama buat kali kedua dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang ketika ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, UMNO sudah serik dan tidak mahu dikhianati oleh pihak yang sama berulang kembali.

“Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu dan kita belum memutamadkannya lagi.

“Itu sebabnya perincian penting kerana kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media sempena Amanat Tahun Baharu di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa agar dihidupkan semula Muafakat Nasional (MN) susulan perkembangan politik mutakhir di Perlis ketika itu.

Saranan Dr. Akmal itu disambut baik Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang dilaporkan berkata beliau sangat bersetuju dengan cadangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai kunci kepada kekuatan serta kebangkitan semula perpaduan ummah.

UMNO dan BN pernah bekerjasama dengan Pas dalam membentuk Muafakat Nasional dengan memeterai perjanjian pada 14 September 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur (WTCKL).

Kerjasama itu susulan keputusan PRU14 yang menyaksikan perpecahan undi Melayu serta kebimbangan mendalam terhadap hala tuju politik Melayu-Islam di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.