KJ hadiri Perhimpunan Agung Umno

BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membuat kemunculan pertamanya di Perhimpunan Agung UMNO 2025 hari ini sejak dipecat daripada parti itu pada 2023.

Beliau yang berpakaian baju Melayu putih lengkap bersamping merah dan bersongkok, menghadiri Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO atas jemputan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Khairy tiba di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersama Dr Muhamad Akmal, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan beberapa bekas Ketua Pemuda UMNO yang lain.

Kemunculan Khairy ke perhimpunan itu seolah-olah mengimbau kenangan beliau yang pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO pada 2009 sehingga 2018.

Ketibaan mereka disambut dengan satu majlis ringkas, termasuk paluan gendang dan persembahan silat pendek.

Ini kehadiran pertama Khairy ke Perhimpunan Agung UMNO sejak beliau dipecat daripada parti itu pada 2023 atas dakwaan memperlekehkan dan mensabotaj kempen Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau, sebelum ini menuduh UMNO telah tersasar daripada hala tuju asal dan menampilkan dirinya sebagai alternatif politik.

Seorang sumber parti berkata Lembaga Disiplin Umno, ketika meneliti kes membabitkan Khairy yang ketika itu merupakan calon BN bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh, telah meneliti beberapa bahan bukti termasuk rakaman video yang didakwa menunjukkan beliau memperlekehkan parti.