TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diadakan dalam tempoh antara dua hingga 10 bulan, berdasarkan unjuran dan bacaan politik semasa parti.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, tempoh itu diambil kira sebagai sebahagian daripada persiapan parti menghadapi PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, dengan Melaka menjadi tumpuan utama kerana BN sebelum ini memenangi dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Bagi saya, bacaan saya lah, tempoh antara dua hingga 10 bulan untuk Melaka (PRN) dan PRU antara 18 bulan hingga 22 bulan.
“Kita perlu tumpukan pada Melaka kerana dulu ketika kita menjadi sebahagian daripada kerajaan dan ketika salah seorang daripada pemimpin UMNO menjadi Perdana Menteri, kita memperolehi 21 kerusi daripada 28 kerusi.
“Untuk memperolehi kejayaan itu sukar, tetapi mempertahankan kejayaan itu lebih sukar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga DUN Telok Mas di Alai, di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab utama kepimpinan dan jentera parti ketika ini adalah memastikan prestasi kerajaan negeri kekal baik serta kepercayaan rakyat terus dipelihara menjelang PRN.
Ujarnya lagi, ahli politik diingatkan supaya mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh menjejaskan sokongan rakyat, khususnya dalam era media sosial yang pantas mempengaruhi persepsi awam.
