MIC perlu perjelas hadiri mesyuarat PPBM

BARISAN Nasional (BN) akan menghantar surat rasmi kepada MIC bagi meminta penjelasan berhubung tindakan seorang pemimpin sayap parti itu menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Shah Alam pada Sabtu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, MIC perlu memberi penjelasan bertulis kerana Bersatu bukan sebahagian daripada gabungan BN sebaliknya parti pembangkang.

Menurutnya, perbuatan tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan BN merupakan sebahagian daripada parti kerajaan.

“Kita serahkan kepada Kepimpinan MIC untuk mengambil sebarang tindakan disiplin berdasarkan peraturan partinya dan mereka juga akan dipinta oleh Setiausaha Agung BN untuk memberikan penjelasan secara bertulis kenapa menghantar wakil.

“Ia satu manifestasi yang tidak baik dan tidak sepatutnya mana-mana wakil parti komponen BN menghadiri persidangan anjuran parti di luar Kerajaan Madani, sama ada atas kapasiti peribadi mahupun rasmi,” katanya di Bagan Datuk, Ahad lalu.