Najib dipenjara 15 tahun, denda RM11.4b

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendapati bekas perdana menteri Najib Razak bersalah atas kesemua empat pertuduhan salah guna kuasa dan kesemua 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang diselewengkan.

Bekas perdana menteri itu dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion. Pihak peguambelanya akan mengemukakan rayuan Isnin depan.

Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, ketika mengumumkan keputusan, berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Najib melampaui keraguan munasabah.

“Pihak pendakwaan telah membuktikan melampaui keraguan munasabah kes terhadap tertuduh berhubung pertuduhan pertama.

“Oleh itu, saya mensabitkan tertuduh atas pertuduhan pertama di bawah Seksyen 23 Akta SPRM,” katanya di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Seksyen 23 Akta SPRM berkaitan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk memperoleh suapan (salah guna kuasa).

Setiap pertuduhan membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, 21 kesalahan yang disabit terhadap Najib terdiri daripada sembilan pertuduhan menerima hasil daripada kegiatan haram, lima pertuduhan menggunakan hasil daripada kegiatan haram, dan tujuh pertuduhan memindahkan hasil daripada kegiatan haram.

Kesemua pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM5 juta.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa yang keempat, Sequerah menolak dakwaan Najib yang dia tidak menyedari yang Jho Low memberi arahan kepada pengurusan tertinggi, dan hal itu tidak dimaklumkan kepadanya.

Kata hakim, apa yang dilakukan oleh Jho Low hanya boleh disifatkan sebagai “perbuatan orang gila”, yang cukup berani berhubung dengan pengurusan 1MDB memandangkan dia mendapat restu dan sokongan “individu paling berkuasa dalam negara pada masa itu”.

Dia berkata hakikat yang Najib tidak membuat laporan polis terhadap Jho Low bagi menafikan dia memberikan arahan kepadanya juga dengan jelas menunjukkan Jho Low bukan bergerak secara bebas atau bersubahat dengan pengurusan syarikat untuk menipu Najib, “yang ketika itu adalah individu paling berkuasa dalam negara”.

Susulan keputusan ini, peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, memohon prosiding dihentikan sekejap sebelum mahkamah meneruskan prosiding mitigasi dan penjatuhan hukuman.