Nazri Aziz sedia bertanding pada PRU16

BEKAS ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, tidak menolak kemungkinan untuk kembali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Mohamed Nazri, 72, yang tidak mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas pada PRU lalu, bersedia untuk bertempur semula pada pilihan raya akan datang, jika ia dikehendaki UMNO.

“Saya masih lagi Ketua Bahagian UMNO (Padang Rengas) …tengoklah macam mana nanti (ingin bertanding semula atau tidak),” katanya kepada BH, di sini.

Mohamed Nazri yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) sebelum ini mempertahankan kerusi Padang Rengas selama enam penggal.

Beliau yang mengakhiri penggal sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Februari tahun lalu bagaimanapun mengumumkan untuk tidak mempertahankan kerusi di Padang Rengas pada PRU15.

Pada PRU15 lalu, calon Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan kerusi Parlimen Padang Rengas yang juga kubu kuat Barisan Nasional (BN).