‘Nilai semula kedudukan dalam kerajaan’

UMNO perlu menilai semula kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya perkembangan berkaitan Titah Adendum yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dilihat bercanggah prinsip perjuangan parti khususnya dalam mempertahankan kedaulatan raja-raja.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata pendirian itu penting bagi memastikan parti kekal berpegang kepada undang-undang dan Perlembagaan UMNO yang menjadi asas perjuangan sejak penubuhannya.

“Sekiranya kepimpinan UMNO beranggapan isu itu bertentangan dengan prinsip parti, maka pemimpin parti yang memegang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan perlu mempertimbang untuk melepaskan kuasa atau jawatan masing-masing.

“Langkah itu bagi membolehkan UMNO kembali mempunyai kuasa dan pengaruh dalam landskap politik negara tanpa bergantung pada mana-mana parti politik lain.

“UMNO ada undang-undang dan Perlembagaan sendiri yang sepatutnya kita hormati, ikut dan patuh. Jika tidak, tiada maknanya perjuangan UMNO selama ini sekiranya hanya kerana kerusi empuk (jawatan),” katanya pada sidang media, di Kuala Lumpur, kelmarin.

Malah, Tengku Razaleigh menegaskan jika dirinya adalah Presiden UMNO, beliau akan menarik diri daripada menyertai Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.