Pemuda boleh beri cadangan, MKT putuskan

SEBARANG ketetapan UMNO termasuk cadangan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) akan ditentukan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias bagaimanapun berkata, semua pihak boleh menyuarakan pandangan untuk dinilai sebelum sesuatu ketetapan diambil.

“Keputusan (cadangan hidupkan semula MN) akan dibuat oleh pihak kepimpinan parti. Itu tidak boleh diputuskan oleh mana-mana entiti. Sebab apa? Kalau semua boleh buat keputusan, kita jadi lebih kelam-kabut nanti.

“Kita boleh menyarankan, kita boleh beri pandangan, tetapi MKT pada akhirnya yang akan membuat keputusan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang seakan memberi bayangan parti itu bersedia untuk kembali bekerjasama dengan Pas.

Cadangan itu dibangkitkan susulan krisis politik di Perlis yang menyaksikan wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar negeri berkenaan.

Pas dan UMNO sebelum ini menjalin kerjasama politik melalui pembentukan MN, namun ia terlerai selepas kewujudan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, ditanya mengenai penganjuran Konvensyen Khas oleh Pemuda UMNO pada Sabtu ini bagi menentukan sama ada parti itu akan kekal bekerjasama atau memutuskan hubungan dengan Kerajaan Perpaduan, Jalaluddin yang juga Pengerusi UMNO Negeri Sembilan berkata, perkara itu merupakan hak sayap parti tersebut.

“Saya tidak tahu secara terperinci mengenai penganjuran konvensyen berkenaan, tetapi bagi saya lebih baik mereka menyuarakan dalam bentuk forum sedemikian daripada melakukan tindakan yang menyusahkan rakyat.

“Jadi, kita tunggu sahajalah 3 Januari ini apa suara, resolusi atau dapatan yang hendak dibuat oleh mereka kerana perkara ini tercetus akibat tindakan oleh pemimpin DAP yang menimbulkan suasana tidak sihat dalam kalangan parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan,” katanya.