UMNO mengakui masih belum berjaya mendapat tempat di hati rakyat Kelantan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negeri ini.
Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, parti itu sebelum ini mengemukakan pelbagai pendekatan termasuk manifesto serta cadangan pembangunan yang diyakini mampu memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, bagaimanapun sokongan rakyat tetap kepada kerajaan negeri itu walaupun terdapat pelbagai pandangan mengenai prestasi pentadbiran dan pembangunan di negeri berkenaan.
“UMNO pernah menawarkan pelbagai cara dan kaedah termasuk manifesto yang kami rasakan terbaik untuk rakyat Kelantan.
Namun sehingga hari ini UMNO masih lagi belum mendapat tempat di hati rakyat untuk parti ini mengambil alih negeri Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas Moreh Ramadan bersama Pengamal Media negeri Kelantan di Pejabat UMNO di sini pada Ahad.
Beliau berkata, kerajaan pusat selama ini turut memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan di Kelantan selain sumbangan daripada sektor swasta.
Tambahnya, pembangunan sesebuah negeri memerlukan peranan bersama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi memastikan kemajuan dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh.
“Kalau soal pembangunan, kerajaan pusat memang banyak membantu negeri Kelantan, namun kerajaan negeri juga mempunyai tanggungjawab untuk memacu pembangunan di peringkat negeri sebagaimana dilakukan negeri lain.
Menurutnya, Kelantan juga mempunyai potensi untuk mencapai tahap pembangunan yang sama sekiranya semua pihak memainkan peranan secara bersama.
“Saya percaya rakyat Kelantan semakin berpendidikan, profesional dan mampu menilai sendiri perkara-perkara yang berlaku di negeri ini.
“Akhirnya rakyat juga yang akan membuat keputusan mengenai hala tuju negeri pada masa depan,” katanya.
