Tiada jalan kembali, Zahid ingatkan MIC

PARTI komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak menyesal sekiranya meninggalkan gabungan itu, kerana parti terbabit tidak akan diterima kembali, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun tidak menyebut mana-mana parti secara khusus, namun kenyataan Pengerusi BN itu dipercayai merujuk kepada MIC yang kini berdepan ketegangan hubungan dalam gabungan berkenaan.

Menurut beliau, sejarah persahabatan dan kesetiaan lebih tujuh dekad dalam BN seharusnya dihargai dan tidak diketepikan hanya kerana wujud rasa tidak puas hati atau ‘kemabukan kuasa’.

“Jangan buat keputusan hanya kerana ‘mabuk kuasa’ dan tanpa mengira kita adalah kawan lebih dari 70 tahun.

“Saya bimbang ada pihak yang akhirnya berada dalam keadaan gantung tidak bertali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF Malaysia) di Setia Ecohill di semenyih, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, politik bukan medan untuk membuat keputusan ketika marah, sedih atau terdesak.

Sebaliknya kata beliau, ia memerlukan kesabaran dan pertimbangan rasional kerana landskap politik sentiasa berubah.

Dalam masa sama, beliau turut menyindir ada ‘pihak’ tertentu yang sebelum ini enggan mendekati Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani, namun selepas kerajaan itu stabil, kemudian mendakwa kononnya mereka dipinggirkan serta dianaktirikan.