TIMBALAN Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta Pemuda Umno agar terus bersuara dalam isu-isu yang perlu diperjuangkan, khasnya untuk Melayu dan Islam.
“Ada pihak yang kata Pemuda biadab, bagi saya, tidak.”
Demikian ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan mesyuarat serentak Perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung parti itu.
Mohamad berkata, sememangnya tugas Pemuda sebagai pembingit dan ‘rebellious’ selain menjadi loceng kecemasan.
Menurutnya, jika ada dasar kerajaan merugikan Melayu atau menekan rakyat, Pemuda yang akan bangkit serta menyanggah terlebih dahulu.
“Saya tahu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Pemuda telah menjeritkan hal isu rakyat dalam Konvensyen baru-baru ini.
“Dr Akmal dan Pemuda, teruskan keberanian kamu. Tapi, jadilah pembangkang konstruktif dari dalam kerajaan.
“Rampas naratif hero rakyat daripada pembangkang,” ujarnya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Pemuda UMNO menganjurkan konvensyen khas bertemakan ‘Hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan’.
Itu bertujuan menyuarakan pandangan dan isi hati secara terbuka serta berani dengan menilai semula kedudukan parti dalam kerajaan kini.
