Naim Moktar calon Parlimen Kinabatangan

PENGERUSI UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata pencalonan anak kepada bekas Pengerusi UMNO negeri itu, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Mohd Naim Kurniawan sebagai calon Barisan Nasional (BN) memenuhi prasyarat legitimasi organisasi, penerimaan akar umbi serta keupayaan membawa mandat rakyat.

Menurut beliau, keupayaan Mohd Naim untuk menggalas sebagai calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan memenuhi prasyarat berkenaan dan ianya amat penting kerana dalam kerangka sains politik, kesinambungan kepimpinan tidak seharusnya dilihat semata-mata daripada sudut keturunan.

“Beliau dipilih melalui pertimbangan institusi parti yang matang, mendapat sokongan jentera akar umbi serta membawa nilai kesinambungan perjuangan yang telah diterjemahkan melalui khidmat berterusan kepada rakyat di Kinabatangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Jafry, pendekatan ini mencerminkan komitmen UMNO untuk memastikan setiap calon yang diketengahkan bukan sahaja mempunyai latar belakang yang kukuh, tetapi juga keupayaan, kredibiliti dan kesediaan untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat dan parti.