Ketua Pemuda sanggah ulasan presiden

KETUA Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh hari ini menegaskan bahawa prinsipnya dirinya tidak pernah berganjak walau seinci pun.

Dipercayai mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru pemimpin sayap pemuda dalam parti politik supaya sentiasa meraikan perbezaan pendapat serta bersedia menerima kritikan, katanya dirinya tidak mempunyai a masalah dengan perkara itu.

“Kritik selama ini pun saya dikritik dan saya tidak ada masalah malah saya melawan lagi.

“Tetapi prinsip saya tidak akan pernah berganjak walau seinci.

Itu bezanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bersama warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di Puchong hari ini, Ahmad Zahid berkata dia pernah memegang jawatan Pemuda Umno dahulu dan memahami bahawa pemuda sentiasa mempunyai idealisme berbeza.

“Pemuda mesti mempunyai idealisme yang berbeza tetapi kalau kena pandangan berbeza atau komen-komen, kita (pemuda) mesti terima itu sebagai melayani apa dipanggil sebagai perbezaan pendapat.

“… kita (pemuda) kerap beri komen kritik terhadap orang dan sebagainya (tetapi) bila orang kritik, kita kena terima. Kenapa bila orang kritik, kita kata orang itu tidak demokratik dan tidak terima hakikat,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, Akmal atau mana-mana pemuda dalam parti politik tidak seharusnya mencari jalan singkat dengan melakukan tindakan tidak wajar hanya kerana ada perbezaan pendapat dalam beberapa perkara.