Zahid yakin ahli sokong pelan PRU16

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yakin menerima sokongan akar umbi terhadap keputusan parti itu untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan hingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan pendirian itu bukan atas kapasiti peribadinya, namun adalah pendirian parti yang dibawa melalui platform Mesyuarat Biro Politik, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), tiga tahun lalu.

Atas dasar itu, katanya, beliau turut mengingatkan Kerajaan Perpaduan perlu juga diperkukuh dengan sokongan bukan saja ahli parti, malah oleh Ahli Parlimen UMNO sendiri.

“Saya tidak meragukannya (sokongan akar umbi). Ini bukan soal pendirian saya, ini pendirian parti yang saya bawa bukan saja ke Mesyuarat Biro Politik, malah Mesyuarat MKT dan PAU.

“Saya berpegang teguh kepada pendirian itu. Kerajaan Perpaduan harus diperkukuh dengan sokongan ahli parti dan Ahli Parlimen sendiri,” katanya kepada media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Ditanya kemungkinan bertanding solo pada PRU16, Ahmad Zahid berkata, UMNO akan membuat ketetapan menjelang pilihan raya nanti.

“Apabila kita berdepan pilihan raya umum walaupun UMNO bertanding solo, namun ia tidak bermaksud kita tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti berdasarkan dotted line (garis panduan).

“Pada masa sama, penubuhan kerajaan seterusnya (selepas PRU16) adalah berdasarkan berapa jumlah kerusi diperoleh, berapa kuat atau lemah sokongan diberikan kepada calon UMNO,” katanya.

Beliau juga berkata parti itu berharap dalam bertanding di lebih 30 kawasan Parlimen pada PRU16.