DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Datuk Seri Najib Razak akan diberikan pengampunan sambil menegaskan beliau tidak sanggup melihat bekas Perdana Menteri itu yang sudah dipenjarakan tiga tahun terus berada di sebalik tirai besi.
Timbalan Perdana Menteri yang menyifatkan Najib sebagai sahabat baiknya berharap pengampunan berkenaan dapat diberikan dalam masa terdekat.
“Kita harus mengakui hakikat bahawa Najib telah berada dalam penjara selama tiga tahun yang saya dan kita semua tidak sanggup melihat beliau terus meringkuk dalam penjara,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) ke-17, di Butterworth, hari ini.
Bagaimanapun, tegasnya, keputusan berhubung pengampunan terletak sepenuhnya di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong dan tidak seharusnya dipersoalkan.
“Benar, kita berdoa, benar kita mengharap, tetapi jangan desak, jangan tekan Tuanku. Baginda tahu bila mahu membuat keputusan dan tahu apa yang akan baginda lakukan,” katanya.
